Tuesday 3 February 2015



PERLEMBAGAAN MALAYSIA





  1. BAGAIMANA KONSEP KELUHURAN PERLEMBAGAAN MENJAMIN KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA.


1) Sejarah        

    • Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia bermula daripada satu persidangan perlembagaan yang telah diadakan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang dihadiri oleh satu rombongan delegasi daripada Persekutuan Malaya, yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua Menteri Persekutuan (Tunku Abdul Rahman) dan tiga menteri-menteri lain, dan juga Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.

    • Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi 183 perkara. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.Berikutan Kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British, penasihat Majlis Raja-Raja dan Pemimpin-Pemimpin parti.Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara.

    • Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan. Memorandum yang disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.


    2) Perlembagaan
    • Perlembagaan merupakan prinsip-prinsip asa yang menentukan bagaimana sesebuah negeri itu diasaskan dan diperintahkan seperti yang termaktub dalam undang-undang, adat dan peraturan yang lazim dipakai. Perlembagaan akan menetapkan had-had kewibawaan kerajaan dan cara-cara pemilihan serta pelantikan pemerintahan.

    • Perlembagaan merupakan sumber undang-undang tertinggi sesebuah Negara. Perlembagaan Kewujudannya adalah untuk menyelaraskan pemerintahan sesebuah Negara. Selain itu,perlembagaan juga sebagai garis panduan pembentukan undang-undang sama ada di pihak pemerintahan atau rakyat.Perlembagaan Persekutuan asalnya digunakan untuk seluruh Semenanjung Malaysia (1957) dan kemudiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak selepas kedua-dua negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Perlembagaan Persekutuan digubal oleh suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid, Sir Ivor Jenning, Sir William Mckell (Australia), B.Malik dan Hakim A.Hamid.


    • Perlembagaan Persekutuan yang asal mengandungi 14 perkara dengan 181 perkara tetapi pada tahun 1984, pindaan telah dibuat dengan menambah 1 lagi bahagian dengan 2 perkara, menjadikannya 15 bahagian dengan 183 perkara. Perlembagaan juga dikenali sebagai suatu kumpulan peraturan atau set undang-undang utama yang menentukan system kerajaan, pembahagian kuasa, peranan dan fungsi organisasi tertinggi negara, hak-hak rakyat dan pelbagai perkara yang lain.





    3) Kepentingan Perlembagaan

    • Menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Perlembagaan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan.

    • Menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan.

    • Perlembagaan juga menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum.

    • Memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum. Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara.

    • Kepentingan perlembagaan di sesebuah negara itu juga mempunyai haluan tertentu. Hal ini demikian kerana, perlembagaan mempunyai undang-undang dasar yang menentukan arah politik negara tersebut. Menerusi perlembagaan, arena politik negara dapat ditentukan dan parti-parti politik pula mengetahui hala tuju semasa memegang kuasa dan mentadbir negara.






    4) Tujuan Berlembagaan

          I. Menjamin Keutuhan dan Kedaulatan negara
    • Perlembagaan boleh menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Ia merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi dalam menetuka hala tuju sesebuah negara. Tanpa perlembagaan rakyat sesebuah negara tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia mereka dalam mendirikan sebuah negara yang makmur dan utuh. Semangat nasionalisme tidak akan wujud di kalangan rakyat yang tidak memikirkan dan mencintai negara mereka. Apabila semangat ini tidak terdapat di dalam diri seseorang rakyat, maka tidak akan wujud semangat patriotisme di dalam jiwa mereka sebagai satu syarat untuk menyumbangkan tenaga mereka terhadap negara. Justeru itu, negara menjadi lemah. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan yang utuh, pemerintahan yang kuat, musuh dengan mudah mengambil alih kerajaan atau tampuk pemerintahan negara. Jadi dengan adanya perlembagaan negara, rakyat dapat berpegang kepada satu undang-undang yang diamalkan dan dihormati bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat.
         II.  Sebagai rujukan
    • Dengan adanya perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, pihak-pihak yang bertentangan antara satu sama lain boleh menjadikan ia sebagai sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keadaan tegang akibat daripada perasaan tidak puas hati dapat dielakkan jika rakyat diwajibkan menurut dan menghormati apa yang tercatat di dalam perlembagaan. Masalah ketidakfahaman boleh diselesaikan dengan tenang berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Apabila semua pihak yang bertentangan duduk membincangkan masalah mereka secara bersama, maka masalah yang mungkin timbul tidaklah begitu sukar diselesaikan. Justeru itu, dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara dengan lebih mudah.
        III. Mewujudkan Kestabilan Negara
    • Walaupun pada dasarnya perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan dalam mana-mana negara, ia mestilah berdasarkan perlembagaan juga. Jika pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak pemimpin-pemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan kucar-kacir di mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan mengabaikan kemahuan rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara.
        IV. Mengawal Kerajaan
    • Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat diketahui atau dipastikan. Ini kerana segala tindak-tanduk mereka mestilah berdasarkan kepada perlembagaan yang telah dicatatkan, bukan bertindak mengikut sesuka hati. Oleh itu, pihak pemerintah tidak dapat melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyeleweng daripada perlembagaan. Ini bererti perlembagaan dapat menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa yang diperuntukkan kepada mereka
         V. Mengekalkan Keamanan
    • Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah mempunyai cita-cita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya. Mereka sepatutnya memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun terdapat pertukaran pemimpin, tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.
        VI. Menjamin Keamanan Sesebuah negara
    • Dengan adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa tidak akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan pemerintah serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama lain daripada melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak mendapat keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang harus menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan mereka hidup aman damai.



    5) Keluhuran Perlembagaan
    • Keluhuran Perlembagaan bererti ketinggian atau keagungan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia. Semua undang-undang yang lain tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan yang telah dibentuk. Parlimen pula memperoleh kuasa daripada perlembagaan dan tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara yang berada di luar bidang kuasanya. Meskipun Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara, baginda perlu menjalankan kuasanya mengikut kehendak perlembagaan. Selain itu, kuasa kehakiman mahkamah juga tertakluk kepada kehendak perlembagaan. Oleh itu, tidak terdapat sebarang institusi di Malaysia melainkan Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kuasa tertinggi.

    • Keluhuran Perlembagaan mengkehendaki setiap rakyat menghormati dan mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia seharusnya patuh akan perlembagaan supaya negara menjadi aman dan damai. Dalam konteks ini, tiada individu yang terkecuali daripada mematuhi perlembagaan. Perlembagaan bertanggungjawab menjaga hak rakyat serta menjamin kemakmuran dan perpaduan negara. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh mempersoalkan kesetiaan seseorang rakyat lain berdasarkan keturunan atau kaum. Pada hakikatnya, Perlembagaan menentukan bentuk pentadbiran serta melindungi hak asasi manusia secara keseluruhannya.




    6) Keluhuran Perlembagaan Menjamin Keharmonian Masyarakat Malaysia
    • Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Parlimen, atau badan perundangan, kehakiman, dan eksekutif mendapat kuasa masing-masing daripada perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong tetap sebagai Ketua Negara, juga menjalankan kuasa mengikut Perlembagaan. Oleh kerana ia merupakan undang-undang tertinggi, maka Keluhuran Perlembagaan ini dijadikan prinsip ketiga dalam Rukun Negara.

    • Prinsip ini menekankan betapa perlunya seluruh rakyat di negara Malaysia, bukan setakat menerima perlembagaan ini, tetapi hendaklah mematuhi dan mempertahankan keluhuran, atau kemuliaan Perlembagaan Malaysia itu sendiri. Perlembagaan negara Malaysia adalah sumber perundangan yang berfungsi untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini, tidak kira bangsa, keturunan, fahaman, agama, dan kebudayaannya. Di samping itu, melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara di negara ini.

    • Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia tidak kira besar atau kecil, tua atau muda, miskin atau kaya, begitu juga yang tinggal di kampung mahupun di bandar, dikehendaki menghormati, menghargai, dan memahami maksud dan kandungan perlembagaan itu, serta latar belakang sejarah pembentukan.

    • Perlembagaan Malaysia yang dikenali juga sebagai Perlembagaan Negara Malaysia itu telah digubal berasaskan semangat setiakawan dan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian, ia sudah merupakan suatu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu-gugat oleh mana-mana individu, atau mana-mana pihak lagi. Perlembagaan Negara Malaysia juga telah menentu dan menetapkan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat negara ini.

    • Perlembagaan berfungsi untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan negara yang adil dan mampu untuk memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Perlembagaan akan membolehkan pemimpin atau pentadbir menjalankan tugasnya tanpa berlakunya penyalahgunaan kuasa. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997 ) pula menyatakan perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan.Seandainya undang-undang yang dikanunkan perlembagaan ini tidak dapat dijalankan maka perlembagaan ini tidak akan bermakna.



    7) Kesimpulan
    • Perlembagaan Malaysia bukan sahaja sebagai institusi utama tetapi juga menjadi ‘kontrak sosial’ yang menstrukturkan sistem sosial Malaysia. Proses penggubalan dan penerimaannya penuh dengan perundingan, perdebatan dan tolak-ansur di antara kelompok masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Sebahagian daripada perlaksanaannya masih diperkatakan dari segi legitimasi politiknya. Dalam konteks hubungan etnik di negara kita, Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial di Malaysia melalui pengurangan jurang perbezaan ekonomi dan struktur antara wilayah. Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila ia dapat mewujudkan pengagihan yang saksama dari segi pembangunan negara keseluruhannya.

    • Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila dapat menjamin kebebasan asasi manusia berdasarkan hak yang ditentukan meliputi kebebasan diri, bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, beragama, bebas daripada menjadi hamba abdi dan melakukan kerja paksa, perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakang dan perbicaraan yang berulang, hak terhadap harta dan hak mengenai pelajaran. Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila ia dapat menentukan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Peruntukan kuasa itu yang meliputi perkara untuk kepentingan bersama.

    • Kepentingan perlembagaan kepada negara kita ialah untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Sistem politik atau jentera pentadbiran negara kita menjalankan proses pentadbiran dengan merujuk kepada Perlembagaan Negara kita. Kelancaran pentadbiran khususnya dalam kabinet kementerian kita dapat dijamin. Kepentingan perlembagaan juga dapat menentukan rangka, bentuk pemerintahan dan kuasa untuk menerajui kerajaan, menjamin pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Kepentingan perlembagaan seterusnya dapat menjamin keselamatan dan keamanan rakyat. Perlembagaan dapat menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri,kebebasan bercakap, memiliki harta dan beragama.

    • Pada masa yang sama, apabila ia dapat menentukan batasan untuk menjaga keselamatan, kemakmuran rakyat dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar. Tambahan pula, unsur taat setia kepada negara dapat dipupuk dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seseorang itu akan dilucutkan kerakyatannya jika kerajaan Malaysia mendapati dia tidak setia atau telah memperolehi kerakyatan negara lain. Dalam konteks hubungan etnik, Perlembagaan negara kita juga berfungsi bagi mewujudkan  keadilan hubungan sosial antara kaum, hak kebebasan asasi manusia dihadkan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum.

    • Perlembagaan kita juga menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dipersetujui dalam Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia. Perlembagaan juga pentin untuk  mewujudkan integrasi nasional bagi mempercepatkan lagi proses pembentukan negara dan bangsa yang bersatu dan berdaulat.


    • Sebagai kesimpulannya, perlembagaan adalah asas undang – undang di dalam sesebuah negara.Perlembagaan memainkan perana yang besar dalam membentuk perjalanan pemerintahan negara Malaysia.Perlembagaan Malaysia yang panjang, terperinci, dan rumit namun memberi banyak manfaat kepada perjalanan pentadbiran negara. Perlembagaan merupakan tunjang utama dalam pentadbiran sesebuah negara.Malah perlembagaan memainkan peranan dalam membentuk dan mengekalkan keharmonian serta perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Justeru, perlembagaan merupakan komponen penting dalam sesebuah negara.



    8) Rujukan

    a) Jendela Sejarah: Nota Perlembagaan Malaysia
    =http://jendelasejarahku.blogspot.com/

    b) Bagaimanakah Konsep Keluhuran
    =http://projekpsa.blogspot.com/

    c) wikipedia
    =http://ms.wikipedia.org/wiki/Perlembagaan_Malaysia

    d) Buku Pengajian Malaysia
    =Kursus DUB 1012

    e) Buku Pengajian Am
    =STPM Oxford Fajar



    9) Lampiran














    No comments:

    Post a Comment